Kandungan makanan dan minuman Diet rendah natrium

Natrium secara semula jadinya ada dalam kebanyakan makanan. Natrium biasa ditemui sebagai natrium klorida, atau garam halus. Susu, ubi kentang dan kacang juga mengandungi natrium secara semula jadi, sama seperti air minuman tetapi jumlahnya berbeza-beza mengikut sumber. Natrium juga ditambah kepada pelbagai makanan. Ia boleh didapati dalam bentuk mononatrium glutamat, natrium nitrit, natrium sakarin, soda penaik (natrium bikarbonat) dan natrium benzoat.

Makanan dengan kandungan natrium yang tinggi

Sos dan perencah seperti kicap, serbuk bawang, garam bawang putih dan kiub pati mengandungi natrium. Daging yang telah diproses, seperti sosej dan nuget ayam, serta sup di dalam tin dan sayur-sayuran semuanya contoh makanan yang mengandungi natrium tambahan. Makanan segera mengandungi natrium yang amat banyak.[7] Makanan prosesan seperti kerepek kentang, sajian sejuk beku dan dendeng juga mengandungi banyak natrium.

Makanan dengan kandungan natrium yang rendah

Makanan segar yang tidak diproses seperti buah-buahan segar, kebanyak sayur-sayuran, daging, ayam, ikan dan bijirin mentah adalah kurang natrium. Makanan rendah natrium kini semakin mudah didapati. Produk rendah natrium dan jenis-jenis yang dilabel rendah atau kurang natrium/garam boleh ditemui di kedai. Pelbagai produk rendah natrium boleh ditemui di internet juga.

Antara makanan-makanan yang rendah natrium:

  • Rempah dan penambah rasa: Lada hitam, lada sulah, biji sawi, sesetengah sos cili
  • Herba: Bawang putih kering atau segar, serbuk bawang/bawang putih (tanpa garam), adas cina, parsli, rosmari, selasih, kayu manis, cengkih, paprika, oregano, halia, jintan, buah pala
  • Kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran, kecuali saderi, lobak, ubi bit dan lain-lain[petikan diperlukan]
  • Kacang, pis, dal
  • Makaroni, pasta, mi, beras, barli (jika dimasak dalam air sahaja)
  • Madu, gula
  • Mentega tanpa garam
  • Keju kotej tanpa garam
  • Daging lembu, kambing, ikan, udang, telur segar
  • Susu, yogurt
  • Bijirin daripada jagung, beras, oat
  • Air berkarbonat, kopi, air soya, teh[8]